Tinjauan Ringkas Peri Ilmu dan Pandangan Alam karya Syed Muhammad Naquib al-Attas menerangkan cara seseorang Muslim seharusnya melihat dan berfikir tentang alam dan isinya termasuk dirinya sendiri dengan bertafakkur akan keagunggan Sang Pencipta. Karya ini memenuhi keperluan zaman ini dalam cuba merungkai kecelaruan di tahap ilmu yang melanda pemikiran umat Islam sejagat. Falsafah al-Attas bertolak atau berparadigma dengan tasawur (worldview) Islam yang sangat kaya dengan tradisi keilmuan dan berilhamkan ajaran dan prinsip al-Qur’an dan sunnah Rasul.
Penulis menjelaskan perihal tanzil Wahyu yang menekankan ketunggalan kebenaran Islam dan menghuraikan penyelewengan fahaman kesatuan dan kesamarataan agama yang pada masa ini dianjurkan penganut ‘Islam Liberal’. Penulis juga menyingkap kaitan bahasa dengan pandangan alam dan ilmu. Tulis al-Attas, “Bahasa merupakan alat akal fikri yang sekaligus juga mempengaruhi pemikiran si penggunanya.”
Beliau membentangkan pelbagai hujah jelas mengapa perlu pembetulan ditahap makna istilah-istilah kunci Islam. Menurut al-Attas, pengaruh sekularisme dan pembaratan ilmu telah mengakibatkan ramai Muslim, termasuk kalangan inteleknya tidak lagi memahami makna sebenar apa itu konsep-konsep seperti keadilan (‘adl) dan pendidikan (ta’dib).
Penulis juga menjelaskan makna sebenar daripada sudut pandangan alam Islam: apa itu kemajuan sejati, apa itu akhlak dan apa itu kebahagiaan sebenar (sa’adah) yang melewati hal-hal keduniaan semata-mata. Buku ini ditulis dengan gaya unik—menggunakan nahu dan pilihan kata yang lazim terdapat pada buku falsafah. Bahasanya halus dan tinggi. Hakikat ini serta jalan susunan ayat yang agak panjang bertujuan mempersembahkan buah fikiran selengkap-lengkapnya. Mungkin bagi pembaca yang kurang menguasai bahasa Melayu dan yang tidak kenal genre falsafah, membaca buku ini sukar. Oleh itu, disyorkan buku ini dikaji dengan bimbingan seseorang yang berlatar-belakangkan ilmu kalam, tasawwuf dan falsafah Islam boleh membuka minda seseorang.
Tinjauan Ringkas Peri Ilmu dan Pandangan Alam sarat dengan pendedahan asas pemikiran Islam, penjelasan makna konsep mendasar agama Islam serta penghujahan, dalil dan kesimpulan yang jitu dan meyakinkan. Pandangan alam (worldview) memang sudah lama diperkatakan baik oleh para cendekiawan Barat mahupun Islam tetapi apakah itu pandangan alam menurut Islam atau tasawwur Islam). Menurut al-Attas, “…pandangan zahir dan batin terhadap hakikat kewujudan dan kebenaran yang diperlihatkan pada nazar serta renungan akali peri kewujudan semesta dunia-akhirat; justeru kerana kewujudan semesta yang ditayangkan oleh Islam pada diri akali kita berdasarkan Wahyu.”
Pentakrifan beliau jelas menekankan bahawa pandangan alam menurut Islam beradasarkan Wahyu yang dibawa oleh junjungan kita Nabi Muhammad saw dan merujuk bukan sahaja kepada “pandangan” mata kasar kita tetapi juga kepada mata-hati. Ertinya, ia menuntut hati yang suci supaya dapat diperlihatkan oleh Allah SWT tentang hakikat kewujudan sebenar. Jelas, tasawwur Islam adalah suatu pandangan (ru’yah) yang sungguh menyeluruh dan meluas, iaitu mencakupi kewujudan bukan sahaja ditahap kemasyarakatan atau ehwal keduniaan kebendaan sahaja.
Menurut al-Attas, seorang Muslim tidak memadai belajar apa itu pandangan alam tetapi tidak mengamalkan ilmunya untuk kehidupan sehariannya atau memikirkan tentang fenomena alam dan kemanusiaan. Perbuatan begini bak burung kakak tua yang pintar meniru kata-kata tuannya tetapi tidak memahami maknanya. Memahami pandangan alam menurut Islam juga bersyaratkan pemahaman keilmuan Islam yang mendalam.
Buku ini bukan setakat menerangkan perihal ilmu dari sudut Islam sahaja, bahkan penulis melukiskan latar-belakang sejarah pemikiran manusia yang pada zaman ini dikuasai oleh pemikiran serta nilai-nilai Barat dan betapa unsur sekularisme dan materialisme dari Barat telah mendorong manusia menggunakan ilmu seperti ilmu sains sebagai suatu alat yang sangat berbahaya.
Sebaliknya menurut pandangan alam Islam, ilmu sains sebenarnya ialah suatu cabang ilmu yang seharusnya mendatangkan manfaat dan bukan bahaya kepada alam dan sesama manusia. Buku yang juga memperhalusi konsep adab sebagai tunggak sebenar pendidikan dalam Islam. Jadi, buku ini perlu dibaca secara tertib atau beradab—bukan macam membaca majalah hiburan. Tinjauan Ringkas Peri Ilmu dan Pandangan Alamboleh disifatkan sebagai buku kecil klasik yang dalam maknanya untuk renungan umat Islam dalam menghadapi cabaran hari muka yang canggih dan rancu.